Wednesday, November 12, 2008

Tidur cukup elak sakit jantung

Saintis dapati warga emas kurang rehat mudah kena strok, sukar bernafas

HONG KONG: Tidur kurang daripada tujuh setengah jam sehari boleh meningkatkan risiko penyakit jantung di kalangan orang tua terutama mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi pada waktu malam, kata satu kajian di Jepun.

Sekumpulan saintis memantau corak tidur 1,255 orang tua yang mempunyai penyakit darah tinggi dan mereka berusia purata 70.4 tahun dengan mengikut perkembangan mereka selama 50 bulan.

Ketika tempoh susulan, penyelidik merekodkan 99 penyakit strok, serangan jantung dan kematian kardiak secara tiba-tiba dan mendapati kebanyakan mereka mengalaminya adalah mereka yang tidak cukup tidur.
"Kumpulan yang mempunyai tempoh tidur yang lebih pendek termasuk tekanan darah tinggi waktu malam mempunyai 4.4 kali ganda risiko penyakit kardiovaskular berbanding mereka yang mempunyai tempoh tidur lebih panjang," kata penyelidik dalam isu terkini Archives of Internal Medicine.

Secara umumnya orang ramai kurang tidur dalam masyarakat moden kini. Bagaimanapun mendapat tidur yang mencukupi adalah perlu untuk menghalang masalah seperti kegemukan dan kencing manis selain beberapa faktor risiko bagi penyakit kardiovaskular termasuk kegagalan pernafasan ketika tidur dan tekanan darah tinggi waktu malam.

"Tempoh tidur yang pendek adalah satu masalah kepada insiden penyakit kardiovaskular di kalangan orang tua yang mempunyai tekanan darah tinggi terutama apabila ia berlaku pada waktu malam," kata penyelidik yang diketuai Kazuo Eguchi dari Jichi Medical University di Jepun.
Mereka menggesa orang tua yang mempunyai tanda-tanda seumpama itu supaya diberikan pemantauan yang lebih.
Source: Reuters

No comments: