Saturday, March 21, 2009

IMPACT tangani ancaman jenayah siber

ABDULLAH menandatangani plak selepas melancarkan ibu pejabat IMPACT sambil diperhatikan Najib, Hamadoun dan Pengerusi Pengurusan IMPACT, Mohd Noor Amin (kiri), di Cyberjaya, semalam.

CYBERJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan di seluruh dunia perlu bersedia berdepan pelbagai ancaman jenayah siber yang merebak ketika ini.

Perdana Menteri berkata, ancaman jenayah siber boleh memberi kesan buruk terhadap kehidupan sebenar dan kepada aspek ekonomi, politik dan sosial sesebuah negara pada kadar lebih besar.

"Sebagai contoh, jenayah siber yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik di seluruh negara atau kejatuhan sistem dagangan kewangan boleh memberi kesan, biarpun terhadap ekonomi yang paling kukuh," katanya berucap pada majlis perasmian ibu pejabat baru International Multilateral Partnership Against Cyber Threats (IMPACT) di sini, petang semalam.

IMPACT adalah usaha sama pertama seumpamanya di dunia antara jabatan awam dan swasta bagi menangani cabaran ancaman siber.

Ibu pejabat baru itu turut menjadi tuan rumah kepada Agenda Sibersekuriti Global, sebuah rangka kerja bagi usaha sama antarabangsa yang ditubuhkan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Setiausaha Agung ITU, Hamadoun Toure dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili.

IMPACT adalah ilham Perdana Menteri yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Antarabangsa IMPACT. Lembaga Penasihat Antarabangsa itu yang dianggotai pemimpin dunia daripada pihak industri dan akademik yang selama ini memberi sokongan kepada aktiviti utama IMPACT.

Perdana Menteri berkata, keadaan dunia yang dihubungkan kini amat terdedah kepada ancaman siber yang tidak pernah berlaku selama ini.

Katanya, ramai individu yang yang berniat jahat dan kumpulan yang cenderung mencetuskan ancaman terhadap komuniti dan negara dalam dunia sebenar.

Abdullah berkata, beliau bangga kerana Malaysia menjadi ibu pejabat IMPACT, sekali gus muncul kerjasama pertama dan tunggal di dunia yang membabitkan pemegang saham global di antara kerajaan, industri dan ahli akademik yang bekerjasama melindungi alam siber dan menjamin keselamatannya untuk semua golongan.

No comments: